Unknown











PELUDAH BAHASA

Ketika lahir jeritnya amat mesra-hening suara bayi pertama.
Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.
Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.
Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan dasa-
insan harapan kerdip pertama yang bakal bersinar sebagai pendakwah.

Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.
Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.
Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.
Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:
Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.

Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;
pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.
Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;
masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.
Sebaik menyingsing SatuMalaysia mula terbelah percik mimpinya.

Tapi, kuasa tersangat nikmatnya-darjat dan harta sebuah buana.
Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.
Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.
Terakhir, dengar kisah lupanya – semua dangkal kecuali dirinya.
Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.

Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.
Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.
Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.
Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.
Sangatlah selesa dan bangga-dirinya tulen peludah bahasa.

- A.SAMAD SAID


Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said (lahir: 9 April 1935) ialah Sasterawan Negara Malaysia 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan Anugerah Penulis Asia Tenggara 1979.Kini beliau menetap di Bangsar, Kuala Lumpur. 
A. Samad mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Victoria Institution, Singapura (1956). Sebagai pembaca, beliau mengenali Asraf, Usman Awang, Han Suyin, Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya Ananta Toer, Achdiat Kartamiharja, Hamzah Fansuri dan Wijaya Mala. Beliau juga gemar membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly.
Beliau membaca pelbagai penulisan dari pelbagai bidang seperti politik, sosiologi, ekonomi dan psikologi serta karya-karya besar Li Po, Tu Po dan Rabindranath Tagore. Ketika membaca, beliau akan menggaris atau menanda ayat-ayat, dialog-dialog atau ungkapan-ungkapan yang menarik.



0 Responses

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...