aisiah
Wasilah Syawal Oleh: Sharifah Aisiah Syed Mahazar Pada saat aku memetik kuntuman aidilfitri masih tercium harumnya kelopak ramadhan mengurai wangi barakah dalam untaian butiran jihad meraikan hari kemenangan umat. Embun menakung rindu titisnya sendu membasah lopak semalam takbir memayungi syahdu alunan sanak saudara mesra berjabat sesama taulan namun ada yang menggumam tangis dalam senyuman tika diri berziarah ke tanah kuburan bagai rebah dalam pangkuan. Syawal mengakar wasilah menjalar di pohonan mahabbah berteduh di bawah rimbunan islamiah yang mekar sejambak dalam satu kalimah tersimpul kejap atas nama ukhwah.
Unknown











PELUDAH BAHASA

Ketika lahir jeritnya amat mesra-hening suara bayi pertama.
Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.
Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.
Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan dasa-
insan harapan kerdip pertama yang bakal bersinar sebagai pendakwah.

Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.
Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.
Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.
Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:
Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.

Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;
pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.
Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;
masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.
Sebaik menyingsing SatuMalaysia mula terbelah percik mimpinya.

Tapi, kuasa tersangat nikmatnya-darjat dan harta sebuah buana.
Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.
Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.
Terakhir, dengar kisah lupanya – semua dangkal kecuali dirinya.
Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.

Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.
Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.
Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.
Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.
Sangatlah selesa dan bangga-dirinya tulen peludah bahasa.

- A.SAMAD SAID


Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said (lahir: 9 April 1935) ialah Sasterawan Negara Malaysia 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan Anugerah Penulis Asia Tenggara 1979.Kini beliau menetap di Bangsar, Kuala Lumpur. 
A. Samad mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Victoria Institution, Singapura (1956). Sebagai pembaca, beliau mengenali Asraf, Usman Awang, Han Suyin, Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya Ananta Toer, Achdiat Kartamiharja, Hamzah Fansuri dan Wijaya Mala. Beliau juga gemar membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly.
Beliau membaca pelbagai penulisan dari pelbagai bidang seperti politik, sosiologi, ekonomi dan psikologi serta karya-karya besar Li Po, Tu Po dan Rabindranath Tagore. Ketika membaca, beliau akan menggaris atau menanda ayat-ayat, dialog-dialog atau ungkapan-ungkapan yang menarik.



Unknown











Syair Perahu

Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah,
di sanalah i'tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal diammu.

Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.

Perteguh jua alat perahumu,
hasilkan bekal air dan kayu,
dayung pengayuh taruh di situ,
supaya laju perahumu itu

Sudahlah hasil kayu dan ayar,
angkatlah pula sauh dan layar,
pada beras bekal jantanlah taksir,
niscaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
muaranya sempit tempatmu lalu,
banyaklah di sana ikan dan hiu,
menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikanpun banyak,
di sanalah perahu karam dan rusak,
karangnya tajam seperti tombak
ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit,
sempurnalah jalan terlalu ba'id.

Baiklah perahu engkau perteguh,
hasilkan pendapat dengan tali sauh,
anginnya keras ombaknya cabuh,
pulaunya jauh tempat berlabuh.

Lengkapkan pendarat dan tali sauh,
derasmu banyak bertemu musuh,
selebu rencam ombaknya cabuh,
La ilaha illallahu akan tali yang teguh.

Barang siapa bergantung di situ,
teduhlah selebu yang rencam itu
pedoman betuli perahumu laju,
selamat engkau ke pulau itu.

La ilaha illallahu jua yang engkau ikut,
di laut keras dan topan ribut,
hiu dan paus di belakang menurut,
pertetaplah kemudi jangan terkejut.

Laut Silan terlalu dalam,
di sanalah perahu rusak dan karam,
sungguhpun banyak di sana menyelam,
larang mendapat permata nilam.

Laut Silan wahid al kahhar,
riaknya rencam ombaknya besar,
anginnya songsongan membelok sengkar
perbaik kemudi jangan berkisar.

Itulah laut yang maha indah,
ke sanalah kita semuanya berpindah,
hasilkan bekal kayu dan juadah
selamatlah engkau sempurna musyahadah.

Silan itu ombaknya kisah,
banyaklah akan ke sana berpindah,
topan dan ribut terlalu 'azamah,
perbetuli pedoman jangan berubah.

Laut Kulzum terlalu dalam,
ombaknya muhit pada sekalian alam
banyaklah di sana rusak dan karam,
perbaiki na'am, siang dan malam.

Ingati sungguh siang dan malam,
lautnya deras bertambah dalam,
anginpun keras, ombaknya rencam,
ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,
angin yang keras menjadi teduh
tambahan selalu tetap yang cabuh
selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah ahad dengan masanya,
datanglah angin dengan paksanya,
belajar perahu sidang budimannya,
berlayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,
ilmu Allah akan [dayungnya]
iman Allah nama kemudinya,
"yakin akan Allah" nama pawangnya.

"Taharat dan istinja'" nama lantainya,
"kufur dan masiat" air ruangnya,
tawakkul akan Allah jurubatunya
tauhid itu akan sauhnya.

Salat akan nabi tali bubutannya,
istigfar Allah akan layarnya,
"Allahu Akbar" nama anginnya,
subhan Allah akan lajunya.

"Wallahu a'lam" nama rantaunya,
"iradat Allah" nama bandarnya,
"kudrat Allah" nama labuhannya,
"surga jannat an naim nama negerinya.

Karangan ini suatu madah,
mengarangkan syair tempat berpindah,
di dalam dunia janganlah tam'ah,
di dalam kubur berkhalwat sudah.

Kenali dirimu di dalam kubur,
badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur?
di balik papan badan terhancur.

Di dalam dunia banyaklah mamang,
ke akhirat jua tempatmu pulang,
janganlah disusahi emas dan uang,
itulah membawa badan terbuang.

Tuntuti ilmu jangan kepalang,
di dalam kubur terbaring seorang,
Munkar wa Nakir ke sana datang,
menanyakan jikalau ada engkau sembahyang.

Tongkatnya lekat tiada terhisab,
badanmu remuk siksa dan azab,
akalmu itu hilang dan lenyap,
tanpa ada tujuan yg tetap,

Munkar wa Nakir bukan kepalang,
suaranya merdu bertambah garang,
tongkatnya besar terlalu panjang,
cabuknya banyak tiada terbilang.

Kenali dirimu, hai anak dagang!
di balik papan tidur telentang,
kelam dan dingin bukan kepalang,
dengan siapa lawan berbincang?

La ilaha illallahu itulah firman,
Tuhan itulah pergantungan alam sekalian,
iman tersurat pada hati insan,
siang dan malam jangan dilalaikan.

La ilaha illallahu itu terlalu nyata,
tauhid ma'rifat semata-mata,
memandang yang gaib semuanya rata,
lenyapkan ke sana sekalian kita.

La ilaha illallahu itu janganlah kaupermudah-mudah,
sekalian makhluk ke sana berpindah,
da'im dan ka'im jangan berubah,
khalak di sana dengan La ilaha illallahu.

La ilaha illallahu itu jangan kaulalaikan,
siang dan malam jangan kau sunyikan,
selama hidup juga engkau pakaikan,
Allah dan rasul juga yang menyampaikan.

La ilaha illallahu itu kata yang teguh,
memadamkan cahaya sekalian rusuh,
jin dan syaitan sekalian musuh,
hendak membawa dia bersungguh-sungguh.

La ilaha illallahu itu kesudahan kata,
tauhid ma'rifat semata-mata.
hapuskan hendak sekalian perkara,
hamba dan Tuhan tiada berbeda.

La ilaha illallahu itu tempat mengintai,
medan yang kadim tempat berdamai,
wujud Allah terlalu bitai,
siang dan malam jangan bercerai.

La ilaha illallahu itu tempat musyahadah,
menyatakan tauhid jangan berubah,
sempurnalah jalan iman yang mudah,
pertemuan Tuhan terlalu susah

Syair Perahu merupakan salah satu karya Hamzah Fansuri, iaitu seorang penyair yang dipercayai dilahirkan pada akhir abad ke-16 di Barus atau Panchor, Sumatera Utara. Pada tahun 1726, Francois Valentijn dalam bukunya Oud en Nieuw Oost-Indie (Hindia Timur Lama dan Baharu) pada bab mengenai Sumatera, menyebut Hamzah Fansuri sebagai seorang penyair yang dilahirkan di Fansur.

keroncongemas












Penyair muda di Kota Karya

Nah..  
di sini kau tercampak dan terpelanting, 
ditolak ditarik diterajang disepit oleh ghairah kesumat pada sastera,  

Karismanya di mana? 
di sini,  
di dalam batang tubuh yang disangka kosong berdengung,  

Karismanya di mana? 
di situ,  
di dalam gelora darulfana bergaul bercampur aduk berselirat bergelimpangan, pilihlah yang mana kau suka,  

Karismanya di mana? 
Nun.. 
di sana,  
pecahkan dulu tembok sombongnya, 
ukirkan dulu kunci ilhamnya, 
pakaikan dulu semangat kentalnya, 
tajamkan dulu mata penanya, 
temukan dulu gerbang ilmunya, 
kembaralah kau ke sana,  

Karismanya di mana? 
nah… 
Karismanya di sini, di Kota karya.    

Nukilan : Keroncongemas 

keroncongemas


















Sebelum melangkah ke Pentas Neraca

Aku, kamu dan mereka,
mari kita meniti dan meraduk kelam pekat, milik kita semalam,

Semalam kita tanamkan hasad kita ke dalam jiwa-jiwa yang mentah,
semalam kita suburkan benih-benih noda di tapak nafsu semahunya,
kita semai, kita baja tunas-tunas dengki, hasutan dan fitnah,
lalu kita berdendang, bersiul dan memainkan lagu sindir tajam yang mengusik,
kita lukiskan potret agung watak nista, watak yang kononnya mulia,
di atas keping-keping  hati mereka  yang gelisah,

Tapi kita lupa,
padahal kelmarin hati kita sendiri yang penuh jelaga,
kelmarin jiwa kita sendiri yang berkeras,
kelmarin hati kita sendiri yang tuli untuk mengalah,
dan hari ini,
bila sampai waktu datangnya karma menyapa dan menyergah,
aku, kamu dan mereka, terkuncup malu akhirnya,
kepul kepul mendung yang hitam pun mengintai samar,
titis-titis gerimis akhirnya turun menemani malam,
fajar siang, pasti akan turut lewat menyapa,
kerana yang datang, adalah suram berhiaskan duka.

Dan untuk esok,
hapuskanlah dendam pekat dalam jiwa kita yang keras,
padamkanlah api tuli, yang membakar ego di hati kita,
ayuh, kita biarkan hujan membadai jelaga hasad,
kita siramkan dengan tangan yang memaafkan,
ayuh, kita biarkan angin malam memadam benci,
kita tiupkan dengan hembusan keihklasan,
ayuh, kita ikat jasad-jasad kita bersama,
kita simpulkan dengan ikatan ruh yang saling menghargai,
kita sulamkan dengan manik-manik kasih dan sayang,

kerana antara aku, kamu atau mereka,
barangkali ketika fajar menyinsing sinarnya nanti,
entahkan esok, lusa atau pun bila,
akan ada diantara kita, yang akan terlebih dahulu melangkah,
memulakan perjalanan ke pentas neraca.

Nukilan : keroncongemas

keroncongemas


Tega seorang ayah

Malu, secolek sahaja,
selebihnya dilempar jauh takut terbeban mencari rezeki,
marah, segunung kerau banyaknya,
dibungkus rapi sebagai hadiah,
katanya untuk santapan kami di hari muka,
sayang, ghaib tersembunyi misteri,
terkadang muncul, terkadang cuma bayang-bayang,
tapi ayah tak pernah tega mencampakkan kami ke lembah dina,

takut, geluk jampi pun takkan sarana menemukannya,
paling handal dalam berperang,
dialah jeneral dialah laskar,
demi keluarga katanya,
malas, kalaulah malam tidak wujud,
pasti kantornya dipenuhi siang,
tapi ayah tak pernah tega untuk cuai pada kami,
walau berbondong-bondong capeknya,

teganya ayah,
asbabnya bukan melampung diri,
cuma mengelok warisnya nanti,
biar tak tambung pada pertiwi,
biar tak tempang membawa diri,
biar tak nyesal di hujung hari.

Nukilan : keroncongemas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...